Sunday, August 9, 2009

Saja Nak Lepas Geram!

Beberapa perkembangan positif mengenai pendidikan alternatif yang diberi perhatian oleh pihak kerajaan dengan membenarkan Cybermedical University di Putrajaya, MSU dan UTHO untuk menjalankan kursus Bachelor of Homeopathic Medical Science (BHMS) amat memberangsangkan saya. Saya berharap dengan penglibatan ini akan betul-betul mengangkat mertabat sistem perubatan homeopati ke tempat yang sewajarnya dan sama-sama menyumbang kearah masyarakat sihat.
Kalau ada ruang dan kesempatan saya ingin kembali sebagai pelajar untuk memantapkan lagi ilmu yang ada disamping ingin turut sama melakarkan sejarah negara sebagai antara peneraju sistem perubatan yang terbaik untuk manusia sejagat. Namun begitu, di sudut hati kecil saya, terusik dengan sikap beberapa orang yang dianggap sebagai pemimpin di dalam bidang homeopati yang agak skeptikal.
Saya sempat berbual dengan beberapa 'graduan' yang baru menerima Ijazah dalam bidang homeopati baru-baru ini menyatakan bahawa mereka tidak bersedia untuk mengambil kursus di Cybermed dan sebagainya kerana setelah 'graduate' mereka sampai umur persaraan dan tidak boleh berkhidmat di hospital. Begitu juga dengan seorang pejuang homeopati yang menyatakan bahawa kursus tersebut hanya untuk mereka berkhidmat di hospital kerajaan sahaja.
Bagi saya mereka ini gagal untuk  memahami maksud menuntut ilmu dan skop pemikiran yang melihat belajar sekadar untuk berkhidmat di hospital kerajaan. Belajar sekadar untuk lulus peperiksaan. Bukan kerana meminati bidang tersebut atau berasa tanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Ilmu dalam bidang homeopati yang diperolehi secara tidak rasmi selama ini sebaiknya dimantapkan lagi dengan ilmu yang boleh diperolehi secara formal. Pendedahan pengalaman bekerja dan berurusan dengan pelbagai jenis penyakit di hospital akan menjadi aset penting untuk mengenengahkan keupayaan dan kemampuan homeopati dalam membantu meringankan dan menyembuhkan penyakit yang menimpa manusia.
Ada juga yang mengatakan bahawa agak sukar untuk memohon memasuki kursus tersebut kerana kelayakan yang diperlukan agak tinggi. Kos pula agak mahal. Kesempatan yang ada digunakan untuk membuat kerjasama dengan institusi pengajian luarnegara bagi mengeluarkan sijil atau ijazah semata-mata untuk mengesahkan ilmu yang dipelajari tanpa mengambilkira mutu dan kualiti yang dihasilkan. Maka akan berlambaklah pengamal homeopati hanya pada nama tetapi kosong mindanya. Sampai bila kita hendak kehadapan kalau berterusan bersikap begini. Memang benar kita perlukan seseorang yang mempunyai keupayaan untuk menguasai ilmu perubatan ini untuk menjadi pelopor di masa akan datang. Ilmu atau bidang homeopati tidak maju kehadapan selama ini kerana ia berada di tangan mereka yang tidak berkemampuan untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Inilah penyakit sebenar yang menimpa pengamal homeopati yang ada pada hari ini. Sepatutnya ruang yang ada ini digunakan untuk memantapkan lagi ilmu di dada bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Peluang ini menjadi tempat terbaik untuk menguji kemampuan diri dan menjadi pembela homeopati secara bermaruah.
 
Terdapat dua buah persatuan yang mempunyai ahli yang paling ramai dalam  mendepani dan memperjuangkan perubatan homeopati. Yang terawal ialah Persatuan Perubatan homeopati Malaysia (PPHM) dan Persatuan Perubatan Homeopati Bumiputera Malaysia (PPHBM). Saya mencadangkan supaya PPHBM mengambi langkah menyertai PPHM demi mewujudkan kesatuan dan kesepaduan ahli-ahli. Namun jawapan yang saya terima ialah perkara ini sukar dilaksanakan kerana halangan yang timbul daripada pimpinan yang tidak jujur.  Semua ini alasan untuk memperjuangkan kepentingan status quo yang tidak boleh dibawa kemana pun. Sekali lagi saya tegaskan bahawa pengamal homeopati sibuk mengubati penyakit orang ramai sehingga terlupa diri mereka berpenyakit. Di atas rasa rendah diri, keinsafan dan melihat masa depan yang gemilang sepatutnya semuanya meletakkan senjata dan berdamai.  Bersatu dan memperkuatkan semula barisan bagi memperjuangkan sistem perubatan homeopati ini. Ini tidak! Masing-masing masih menunjukan taring tumpul yang menunggu masa untuk tanggal dari gusi. Sehingga terlupa sumpah setia seorang doktor untuk menjadi penyelamat manusia.

No comments:

Post a Comment