Wednesday, June 17, 2009

SEJARAH HOMEOPATI MALAYSIA


PERKEMBANGAN HOMEOPATI DI MALAYSIA

Di Malaysia, sistem perubatan homeopati diasaskan oleh seorang tokoh yang amat berjasa kepada tanah air iaitu Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969). Seorang yang bergiat cergas dalam organisasi politik dan agama, salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia (PAS).

Homoeopati dibawa masuk dan diperkenalkan di tanah Melayu oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke Malaya pada tahun 1929. Beliau merupakan graduan daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi.

Berdasarkan keterangannya, homoeopati begitu berjasa kepadanya kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit lelah yang dialaminya. Selanjutnya, pada tahun 1937 hingga tahun 1942, beliau bersama Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homeopati di Singapura dan Johor Bharu. Usaha ini terhenti apabila beliau sibuk menguruskan soal-soal agama dan tanah air. Malah beliau pernah ditahan selepas tragedi NATRAH di Pulau Sekijang, untuk tempoh Ogos 1951 - Sept. 1952.

Pada akhir tahun 1952, beliau mula kembali mengamal dan menggunakan penawar homeopati dengan memberikan banyak pertolongan kepada keluarga dan sahabat handai. Kemudiannya, dalam pertemuan dengan beberapa orang pemuda, beliau mencadangkan supaya ilmu perubatan homoeopati dipelajari dan dikembangkan sehingga menjadi perubatan nasional bagi negara Malaysia Merdeka.

Berdasarkan tulisan Prof. Dr. Mohd Nor, selepas lebih enam bulan, barulah dapat dikumpulkan seramai dua belas orang penuntut. Pada 15 hb. Dis. 1953, Dr. Burhanuddin telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran Singapura untuk mengajar dan mempraktik homoeopati.

Dalam surat jawapan terhadap permohonan itu, disebutkan bahawa amalan mempraktik homoeopati tidak diiktiraf dan kerana itu lesen mempraktik tidak perlu dikeluarkan. Kebenaran bagi kuliah rasmi perubatan homoeopati diterima, tetapi pengamal homoeopati tidak boleh didaftarkan sebagai Medical Practitioners mengikut Medical Registration Ordinance dan tidak boleh dipanggil "Doktor."

Walaupun tanpa pengiktirafan - dengan kebenaran itu, tahun 1953/1954 dianggap tahun yang bersejarah dalam tinta tanah air. Pada tahun tersebut, lahir sebuah institusi atau pusat pengajian homeopati yang pertama secara informal di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu Kampung Pachitan, Singapura. Antara 12 orang pemuda perintis yang mengikuti kuliah itu termasuklah Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin, Dr. Hj. Dali b. Hj. Muin, Dr. Mohammed Hj. Yaakub dan Dr. Abd. Rahman Hj. Hashim.

Teks yang digunakan dalam kuliah bagi generasi pengasas pada waktu itu terdiri daripada: The Organon of Medicine (Hahnemann); Materia Medica (Nash, Kent, Chauldry); Philosophy (Kent); The Chronic Diseases (Hahnemann); Muqaddimah (Ibnu Khaldun) dan termasuk juga kitab Hadis Arbain.

Asas sumpah Hippocrates yang masyhur telah dijadikan asas "Janji Setia". Justeru itu, setiap pelajar perubatan homeopati: harus menganggap Gurunya sebagai Bapa dan anak mereka sebagai saudara kandung, sanggup memandang sesama sendiri sebagai keluarga; berjanji tidak memberi "Drug" yang membahayakan serta membunuh kepada pesakitnya; berjanji tidak memberi ubat bagi menggugurkan Janin dalam kandungan; menjaga kehormatan seni rawatan dengan penghormatan yang tinggi; dan sentiasa sedia memberi khidmat di mana sahaja ia berada.

Meskipun ilmu perubatan homeopati tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif dihadapi, tetapi beliau menjelaskan betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa terutama ilmu berkaitan dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian kemerdekaan suatu bangsa. Justeru itu, dalam ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:
"....... saya berpendapat, ilmu kedoktoran homeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat saya sembahkan menjadi pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak."
"Selain dari itu yang menjadi pilihan saya kepada homeopati ialah kerana pengalaman saya mengidap penyakit lelah di mana puas saya berubat dengan ubat-ubat lain tetapi tidak mahu sembuh. Tetapi setelah saya mencuba ubat homeopati, maka idapan saya yang selama ini tidak baik-baik, telahpun pulih."
"Oleh itu, saudara-saudara perintis adalah merupakan angkatan yang menjadi harapan bangsa di masa akan datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran tabii semula jadi. Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan kehendak nature."

Kuliah-kuliah bergerak cergas di pusat Malaysia Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura. Pada tahun 1957 terdiri pulalah Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di Kuala Lumpur.

Semangat memperkembangkan homoeopati semakin mendapat perangsang apabila Dr. Corea datang melawat Malaya secara rasmi dengan tugas Kongres Perubatan Homeopathy Sedunia pada masa Malaya Merdeka. Dr. Edward Mac. Heyzer yang pernah bertugas sebagai doktor dan surgeon tentera dalam angkatan tentera British semasa perang Jepun turut aktif membantu memperluas dan memperkenalkan homeopati di hospital dan golongan terpelajar. Beberapa orang India yang mempelajari homeopati juga membantu dengan bertindak secara layman physician dalam memberi rawatan atau membuka kedai-kedai ubat homeopati.

Pada tahun 1960, berkumpul pula para pendokong dan perintis homoeopati di Kuala Lumpur untuk memikirkan nasib dan matlamat sistem perubatan homeopati serta menggariskan perjuangan untuk dekad-dekad akan datang. Berkat azam yang kuat dan sama semuafakat, maka tertubuhlah sebuah persatuan homoeopati yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan nama "Persatuan Homoeopathy Malaya" (Homoeopathic Society of Malaya).

Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri. Setiausaha agungnya, Dr. Mohammad bin Hanif dan Bendahari agungnya ialah Dr. Yaakob Ibrahim. Ahli-ahli jawatankuasa yang lain termasuk Dr. Rahmat b. Ma’dom, Dr. Rashad Shamsuddin, Dr. Abd. Rahman Hashim, Dr. Bahrom Shah dan Dr. Ismail b. Muhammad. Ibu pejabat persatuan di waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah) Kuala Lumpur.

Di dalam ucapan semasa merasmikan persatuan ini, Prof. Dr. Burhanuddin menggariskan tujuan dan matlamat persatuan sebagai:

- Mendirikan dan memajukan perubatan homeopati dan lain-lain cara tabii.
- Menggalak dan meninggikan kesihatan, kewarasan, kecerdasan rohani dan jasmani.
- Mengadakan kemudahan bertukar fikiran dan pengetahuan antara ahli dan orang ramai dengan mengadakan ceramah dan lain cara yang halal.
- Memajukan kepentingan bersama, meninggikan akhlak dan pelajaran.
- Menanam semangat dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri dan mengajarkan kepada ahli akan kegiatan-kegiatan homoeopati.

Persatuan yang ulung ini membuka keahliannya kepada tiga jenis keahlian ialitu: ahli penuh, ahli bersekutu dan ahli penyokong di mana hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja diterima sebagai ahli penuh. Bersama dengan itu juga, Dr. Burhanuddin menganjurkan agar pusat-pusat rawatan homeopati ditubuhkan. Di samping memberi rawatan, pusat-pusat ini juga boleh menjadi tempat-tempat latihan kepada pelajar-pelajar homeopati.

Jasa Dr. Burhanuddin seterusnya ialah menyuarakan isu-isu homoeopati beberapa kali di Parlimen semasa beliau menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959-1964. Suaranya yang lantang membolehkan aktiviti mengembangkan ilmu perubatan homeopati bergerak ke seluruh negara. Kemudian dalam mengembangkan homeopati seterusnya beliau berusaha mengumpulkan pelajar-pelajar yang setia untuk mengikuti kuliah homoeopati di Ehya Assharif Gunung Semanggol, Perak.

Tidak banyak tulisan-tulisan yang memperincikan kegiatan pengembangan ilmu perubatan homoeopati yang dilaksanakan oleh beliau di tahun-tahun berikutnya. Akhirnya, pada 25 hb. Oktober 1969, Dr. Burhanuddin pulang ke rahmatuLlah setelah berjaya menaburkan banyak jasa-jasa kepada masyarakat, orang Melayu, Islam, politik tanah air dan tidak ketinggalan mewariskan homeopati. Justeru banyaknya jasa-jasa beliau seperti yang disebut-sebut dalam sejarah tanah air sebelum dan selepas merdeka, maka beliau masih dikenang hingga ke hari ini.

Pemergian Allahyarham Dr. Burhanuddin memang sukar dicari ganti. Tetapi demi untuk menerajui persatuan yang masih muda ini, kepimpinan persatuan diberikan kepada timbalannya iaitu Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin. Pergerakan homeopati dikatakan bergerak lebih aktif lagi selepas itu dengan menambah bilangan peminat dan penyokongnya. Pada tahun 1979, persatuan ini diubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysia Homoeopathy Medical Association) atau ringkasnya PPHM.

Di bawah pimpinan Dr. Mohd. Nor, persatuan ini semakin giat aktivitinya dengan menganjurkan ceramah, seminar dan memberi kuliah. Ini terutamanya apabila pusat-pusat rawatan homoeopati mula tumbuh dengan pesatnya di Kuala Terengganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor), Jasin (Melaka), Sungai Besar, Klang, Sekinchan (Selangor), Kota Bharu dan lelain tempat lagi di mana khidmatnya mendapat sambutan.

Pada tahun 1980an, persatuan ini juga mula mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan banyak seminar-seminar yang diadakan turut dinaungi oleh tokoh-tokoh politik. Dengan pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr. Dali, Dr. Abd. Ghani, Dr. Nik Omar, Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool dan ahli jawatankuasa PPHM 1970-1984, diberitakan bahawa homeopati berjaya dikembangkan di universiti-universiti, terutama di UTM.

Perkembangan di akhir-akhir ini menunjukkan satu demi satu pertubuhan homoeopati diwujudkan samada ia mendapat asas daripada PPHM ataupun tidak. Antaranya ialah persatuan Dr. Mohamad Hj. Yaakob yang menubuhkan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM) yang beribu pejabat di Johor Bahru, Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia (MRHP) di bawah Dr. Nik Omar dan Persatuan Pengamal Perubatan Homoeopati Malaysia (PPPHM) yang berpusat di Alor Star, Kedah.
Bagaimanapun, kata sepakat dicapai antara PPHM dan PPHBM untuk menyelaraskan daya usaha dan tenaga serta menyambung amanah al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan bergabungnya kedua-dua kesatuan itu menubuhkan Majlis Homoeopathy Kebangsaan Malaysia pada 11 April 1993. Dengan itu ahli-ahli kesatuan yang bergabung itu dapat bekerjasama mempertahankan homoeopati tulen mengikut fahaman mereka.

Namun begitu, peranan MRHP turut menonjol dari segi perkembangan homeopati di mata masyarakat mutakhir ini justeru aktivitinya yang bersifat komersil selain aktiviti biasa memberi kursus dan ceramah seperti PPHM. Banyak barangan atau hasil keluaran homeopati dari kesatuan tersebut mendapat tempat di hati masyarakat. Ini termasuk juga aktiviti dan usaha MRHP membantu masyarakat Selatan Thai sewaktu mengalami banjir dan mangsa peperangan saudara di Afghanistan.

Sementara penerokaan kursus jarak jauh dan penerbitan majalah "Utusan Kesihatan" untuk tatapan umum oleh PPPHM turut membantu mengembangkan homeopati dengan lebih meluas. Meskipun PPHM yang bersikap tradisional mengkritik dan enggan mengiktiraf kursus seumpama itu, namun ia turut berperanan membantu memperluaskan ilmu perubatan homoeopati di mata masyarakat. Dalam hal ini, perlantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sebagai penaung PPPHM mungkin membantu persatuan tersebut dalam kelangsungannya.

Selain itu, terdapat aktiviti-aktiviti pengembangan homoeopati yang dijalankan secara bersendirian. Ini berlaku menerusi pembukaan pusat-pusat rawatan, pengeluaran produk baru homeopati, jualan langsung (direct selling), penerbitan majalah/makalah dan seumpamanya. Walaupun aktiviti-aktiviti secara bersendirian tidak digemari oleh persatuan dan mungkin menimbulkan natijah sampingan, sedikit sebanyak ia telah membantu menyebarkan ilmu perubatan tersebut. Malah tidak sedikit aktiviti secara individu turut mendapat tempat di media dan majalah.

Bagaimanapun, perkembangan yang menarik dalam sejarah homeopati di Malaysia dan yang membezakan ia dengan sejarah perkembangan homeopati awalan dan di negara-negara lain ialah mengenai usaha murid-murid Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam memperkaitkan antara perubatan homeopati dengan Islam. Antara bukti-bukti yang sering diperjelaskan oleh mereka termasuklah prinsip similimum yang dikiaskan kepada hadis Rasulullah s.a.w. mengenai jatuhnya lalat ke dalam minuman (yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Daud), keseimbangan vital force sebagai pancaran ruh dan nama-nama penawar homoeopati yang digunakan yang mana sebahagiannya ada tersebut di dalam al-Qur’an.

Sedutan daripada Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

No comments:

Post a Comment